.Miami.Love.Machine.

::..oRanGe..iS..mY..HeaRt..pUrpLe..is..My..sOuL..::

Rafiz menuang air kosong ke dalam gelas yang separuh terisi. Sesekali dia memandang ke arah pintu masuk restoran. Rafiz melihat jam di tangan, sudah hampir pukul 9.30 malam. Farah masih lagi belum kelihatan. Rafiz sudah bosan menunggu. Sudah beberapa kali dia mahu mengangkat kaki dan pergi dari situ, tetapi bila memikirkan 'perkara mustahak' yang hendak dibincangkan oleh Farah, dia membatalkan niatnya. Tambahan dia menyedari, jauh di lubuk hati, sebenarnya dia agak merindui teman istimewanya itu. Dan semestinya, pertemuan ini memang amat dinantikan setelah sekian lama walaupun Rafiz sendiri tidak pasti adakah dia gembira atau sebaliknya dapat bertemu mata dengan Farah.

Rafiz meliarkan pandangan ke segenap Ceylon Tea Trails. Di satu sudut restoran, dia melihat sepasang kekasih sedang enak menjamu selera sambil berbual mesra dan bergelak ketawa. Warga Zurich barangkali, fikir Rafiz. Sepertinya mereka sedang meraikan ulangtahun sesuatu. Dengan jambangan bunga ros merah di tengah-tengah meja dan sebiji kek berwarna putih yang dicucuk dengan 2 batang lilin merah jambu, telah menambahkan suasana romantis. Mereka sedang berada di dalam dunia percintaan mereka sendiri tanpa menghiraukan keadaan sekeliling. Dunia percintaan memang indah dan manis. Rafiz mengakui hakikat itu. Dia juga pernah berada di dalam dunia yang sama suatu ketika dulu. Dunia percintaan yang romantis, yang dilalui bersama-sama dengan Farah Idayu selama 3 tahun. Semuanya masih jelas diingatan. Rafiz tersenyum sendirian.

Ketika itu Rafiz baru 6 bulan menjejakkan kaki di Zurich. Dia mendapat tawaran bekerja di Cornelia Ingenieurs & Associates, sebuah firma perunding kejuruteraan yang terkenal. Suatu hari, dia terlibat dalam satu kemalangan kecil di Flughafen. Kereta yang dipandunya telah merempuh bahagian belakang kereta Farah di satu perhentian lampu isyarat. Dari satu insiden yang tidak disengajakan, mereka berkenalan dan bertukar-tukar nombor telefon. Bermula dari detik itu, mereka akhirnya berkawan rapat dan sering menghabiskan masa bersama. Farah Idayu adalah seorang penolong pegawai diplomatik yang bekerja di kedutaan besar Malaysia di Switzerland. Seorang gadis muda yang sofistikated dan berketrampilan, tapi kadang-kala agak sukar dimengertikan. Setelah berkawan rapat selama setahun, Rafiz meluahkan hasrat untuk menjadikan Farah teman istimewanya. Nyata dia tidak bertepuk sebelah tangan.

Selama 3 tahun mereka mengharungi saat suka duka alam percintaan bersama-sama. Rafiz tidak pernah merasa kesunyian dengan adanya Farah di sisi, sehinggalah segala-galanya berubah selepas Farah diserapkan ke Biro Perhubungan Diplomatik Luar beberapa bulan yang lalu. Farah telah berubah menjadi seseorang yang Rafiz tidak kenali. Dia semakin jarang meluangkan masa bersama Rafiz. Apa yang lebih dipentingkan hanyalah kerja dan aktiviti sosial bersama rakan-rakan sekerja. Pernah juga Rafiz cuba untuk mengajak Farah berbincang dan meluangkan lebih banyak masa bersama, namun apa yang diperolehinya hanyalah alasan-alasan lapuk yang diulang-ulang.Sibuk, komitmen kerja, penat, tiada masa. Kadang-kala Rafiz juga pernah dimarahi dek kerana tidak 'memahami' tuntutan kerjanya. Namun Rafiz hanya bersabar sahaja dengan sikap Farah. Tidak dinafikan dia agak berkecil hati diperlakukan sebegitu, tetapi bila mengenangkan usia perhubungan yang sudah terjalin terlalu lama dan rasa cintanya terhadap Farah yang menebal, Rafiz setia bertahan. Sampailah di satu ketika, Farah menyepi tanpa khabar berita selama hampir 3 bulan. Panggilan telefon, emel, semuanya tidak berbalas. Melalui Yvonne, rakan sekerja Farah, Rafiz mendapat tahu yang Farah telah berlepas ke Stockholm atas urusan kerja. Rafiz terkedu. Farah pergi tanpa memberitahunya terlebih dahulu. Rafiz benar-benar bengang kerana Farah membelakanginya. Sejak dari itu, Rafiz sudah tawar hati untuk mengambil tahu perihal Farah. Selama 3 bulan mereka terputus hubungan. Sehinggalah dia menerima panggilan telefon dari Farah beberapa jam yang lalu, yang pertama setelah 3 bulan.

"Sorry saya lambat. Dah lama tunggu?" Sapaan Farah mengejutkan Rafiz. Dia sedikit terpisat-pisat.
"Tak. Saya pun baru sampai tadi." Balas Rafiz ringkas. Soalan Farah tadi agak menjengkelkan baginya. Setengah jam menunggu, Rafiz sudah 'kepanasan'. Seharusnya dia gembira dapat berjumpa Farah, tetapi tiada sekelumit pun keseronokan di hatinya.
"Jauh termenung. Teringat kat girlfriend ke?" Farah ketawa kecil. Rafiz hanya tersenyum kelat.
"Awak apa khabar?" Soal Farah selepas melabuhkan duduknya.
"Sihat. Macam biasa. Awak apa khabar?" Rafiz menanyakan soalan yang sama sambil memandang Farah yang berada di hadapannya. Dia kelihatan sedikit berisi.
"Saya sihat. Cuma penat sikit. Kerja makin banyak." Jawab Farah.
"Saya belum pesan makanan lagi. Kalau awak nak makan..." belum sempat Rafiz menghabiskan percakapannya, Farah menggelengkan kepala.
"Saya dah makan tadi dengan Imran. Kalau awak nak makan, awak makanlah." Terang Farah.
"Siapa Imran?" Soal Rafiz sambil mengerutkan dahi. Setahunya, Farah tidak pernah memperkenalkan seseorang yang bernama Imran kepadanya. Boleh dikatakan semua rakan Farah dikenalinya, melainkan 'Imran'.
"Oh, actually he's my boss of my new division. I forgot to mention about him to you." Farah menjawab. Rafiz hanya mengangguk perlahan. Hajatnya untuk makan malam bersama Farah hanya tinggal harapan. Rasa lapar yang ditahannya sejak 2 jam yang lalu telah 'dikenyangkan'. Seleranya telah hilang.
"So, apa yang awak nak bincangkan? Penting sangat bunyinya. Awak nak ajak saya kahwin ke?" Rafiz cuba berjenaka.
"Be serious, Rafiz. Listen carefully what I'm going to say." Tingkah Farah dengan wajah yang serius. Serta-merta air muka Rafiz berubah.
"Cakaplah. Apa dia?" Nada Rafiz agak mendatar. Dadanya berdebar-debar.
"First of all, saya nak minta maaf sebab saya tak beritahu awak yang saya pergi ke Stockholm. Saya tak sempat nak beritahu. It's so sudden. Saya tak sempat nak balas emel awak. Ada banyak paperwork yang perlu disiapkan. Conference, meetings and events are everywhere. Banyak perkara yang perlu saya fikirkan." Panjang lebar Farah memberi penjelasan. Rafiz hanya diam.
"Semasa di Stockholm, saya juga dah banyak berfikir tentang kita. Tentang hala tuju perhubungan kita. Komitmen kerja saya semakin bertambah, dan saya merasakan saya tidak mampu untuk memberi komitmen terhadap 2 perkara dalam satu-satu masa. Saya dah berfikir semasak-masaknya, saya rasa elok kalau kita membawa haluan masing-masing buat sementara waktu. Beri peluang kepada diri masing-masing untuk membina kerjaya. Saya rasa ini yang terbaik untuk kita. Saya harap awak faham." Farah mematikan penjelasannya.

Rafiz tergamam. Dia seperti tidak percaya apa yang didengarinya sebentar tadi. Dia seakan sedang bermimpi. Rafiz cuba untuk bersuara tetapi kerongkongnya seperti tersekat. Dia menarik nafas dalam-dalam. Beberapa saat dia mendiamkan diri, Rafiz mencari-cari titik permulaan sebelum memulakan bicara.

"Maksud awak, kita berpisah?" Soal Rafiz menginginkan kepastian.
"Saya hanya mahukan ruang dan masa untuk diri sendiri. Saya tidak pasti apa yang saya nak dalam hidup saya. Tapi buat masa ini, saya hanya mahu tumpukan sepenuh perhatian terhadap kerjaya saya. That's the most important." Farah berkata-kata seperti tidak ada perasaan bersalah.
"Lebih penting dari saya dan perhubungan kita?" Tungkas Rafiz. Farah hanya membisu.
"Kenapa baru sekarang?" Soal Rafiz lagi. Pedih hatinya tidak tertahan.
"Saya pun tak tahu. Tapi saya harap awak dapat faham. Right now, I'm on the right track to develop my dream career. I can't waste this chance." Balas Farah lagi.
"Dan macam mana dengan perhubungan kita? Ada awak terfikir?" Rafiz cuba menduga.
"Saya tak tahu. Just let it be this way. Kalau ada jodoh, kita jumpa balik." Jawab Farah ringkas.

Jawapan Farah itu bagaikan sembilu yang menghiris. Sangat pedih. Rafiz merasakan otaknya kosong. Dia tidak mampu lagi untuk berfkir. Segala-galanya tampak kelam dan kabur. Namun Rafiz tetap menggagahkan diri untuk menerima kenyataan dengan hati yang tabah. Dia menganggap semua ini adalah ujian dari Yang Maha Esa. Dengan sedikit kekuatan yang masih berbaki di dalam diri, Rafiz mengukirkan senyuman. Mungkin senyuman yang terakhir yang akan terukir di bibirnya.

"Baiklah. Kalau itu yang awak nak, saya tak boleh menghalang. Saya doakan awak berjaya dalam hidup awak." Tenang Rafiz bersuara.
"Thank you. Saya tahu awak seorang yang memahami." Farah bersuara girang. Aneh, seperti tiada sekelumit pun perasaan sedih di dalam hatinya.
"Kalau dah tiada apa-apa, saya minta diri dulu." Pinta Rafiz. Segera dia bangun dari tempat duduknya. Dia mahu cepat-cepat keluar dari restoran itu.
"Okay. Terima kasih sebab sudi luangkan masa. I appreciate it a lot." Ucap Farah.
"It's okay. Jumpa lagi." Balas Rafiz lalu mengatur langkah membelakangi Farah. Dia tidak akan menoleh ke belakang lagi. Itu janjinya.

Malam itu, Ceylon Tea Trails tidak sekadar menjadi saksi kepada ulangtahun percintaan manis sepasang kekasih. Ia juga menjadi saksi kepada perpisahan yang pahit. Rafiz pasrah dengan ketentuan Ilahi. Jiwanya kosong. Hatinya luka pedih tiada berdarah.

Dalam perjalanan pulang, Rafiz hanya termenung. Tidak seperti kebiasaanya sebelum ini, dia suka memasang lagu Tim Urban dan menyanyi mengikut rentak alunan muzik. Malam ini, 'mood' nya hilang sama sekali. Fikirannya merewang jauh. Dia memerhatikan lampu-lampu indah di sepanjang Miles Ertmann dengan harapan warna-warni neon akan mampu menceriakan jiwanya, tetapi sia-sia. Sesampainya di Martin Moos Bridge, dia memberhentikan keretanya lalu keluar menuju ke pinggir jambatan. Panorama waktu malam di Limmat River agak mengasyikkan. Cahaya lampu dari bot-bot yang berlabuh di jeti sedikit-sebanyak mengurangkan kesedihan hatinya. Angin malam menyapa lembut wajahnya. Ada ketenangan yang dirasakannya di situ.

Rafiz kembali termenung, seperti sedang memikirkan sesuatu. Agak lama dia berada dalam keadaan begitu. Dengan tidak semena-mena, dia menyeluk poket jaketnya lalu mengeluarkan telefon bimbit. Nombor Haris Yahya didail. Setelah berdering beberapa saat, panggilannya dijawab.

"Haris, ada kat mana?" Tanya Rafiz.
"Rumah. Kenapa? Eh, lain macam je suara kau aku dengar. Kau sakit ke?" Haris terperasan sedikit perubahan pada nada suara Rafiz yang agak dalam dan mendatar.
"Bulan depan aku ikut kau pindah ke Narathiwat. Tolong tempahkan tiket flight untuk aku sekali." Rafiz menyatakan tujuannya tanpa berselindung.

Rafiz nekad dengan keputusannya. Dia mahu membawa diri ke Narathiwat, jauh dari Farah Idayu binti Othman. Bumi Zurich harus segera ditinggalkan....


(bersambung...)

0 comments:

Post a Comment

..: my ads :..

..: my profile :..

My photo
unique, passionate, gorgeous, dynamic, tolerant, observer, listener, kind-hearted, gentleman, hilarious, friendly, calm, cool, sentimental, rock ballad, Bee Gees, Lionel Richie, Man Utd, fish, aquarium, Rooney, 80's, volleyball, darts

..: my clock :..

..: my shout :..


ShoutMix chat widget

..: my visitor :..

..: my LTF :..

..: my list :..

..: my fans :..

..: my track :..

..: WANTED :..

  • 2) jam tangan
  • 3) Nokia E66