Raut wajah Suraya makin kelat. Derai tawa rakan-rakannya masih berbaki. Sejak dari tadi, mereka bertiga berterusan menyakat Suraya tentang kejadian di dewan tadi. "Saya rasa la kan, Zakuan tu syok kat awak." Seloroh Hanim. "Saya pun rasa macam tu jugak. Zakuan tu not bad. Tinggi, hensem, sportsman lagi. Sesuai sangat dengan awak Su." Tambah Fatin. Kartini hanya tersenyum sinis mendengarnya.
"Kalau dia not bad, awak jer lah mengorat dia." Suraya membalas. Hatinya kembali menggerutu apabila teringatkan peristiwa tadi. Dia malas hendak melayan usikan kawan-kawannya itu. Makin dilayan makin menjadi-jadi.
"Tapi dia tak minat kat saya. Dia minat kat awak cik Suraya oi." Kata Fatin.
"Takde maknanya dia nak minat kat saya. Dia tu dah la sengal, gila pulak tu." Dengus Suraya. Sesekali lirik matanya menangkap orang yang lalu-lalang di dalam kafe itu. Mintak-mintak janganlah mamat sengal tu datang sini, getus hati Suraya.
Malang baginya. Beberapa saat kemudian kelibat Zakuan muncul. Suraya mulai gelabah. Dia menundukkan sedikit wajahnya. "Eh, awak apsal?" Tanya Kartini. Dia hairan melihat tingkah-laku Suraya. Hanim mencuit bahunya dan membisikkan sesuatu di telinga Kartini. Lantas, Kartini menoleh ke belakang. "Oooo...hero dah sampai rupanya. Heroin tersipu-sipu malu sampai kena tutup muka." Ujar Kartini disusuli gelak ketawa mereka bertiga. Suraya mengetapkan bibir dan menjeling ke arah Kartini.
"Assalamualaikum." Ucap Zakuan sambil mendekati meja yang diduduki Suraya dan kawan-kawannya.
Semua orang terkejut. Ketawa mereka termati mendadak. "Dah makan?" Soal Zakuan lembut. "Er..er...dah. Baru jer lepas makan." Tergagap-gagap Kartini menjawab. Fatin dan Hanim terdiam seribu bahasa. Mereka sama sekali tidak menyangka Zakuan begitu gentleman menegur mereka berempat. "Awak dah makan, cik Suraya?" Tanya Zakuan kepada Suraya. "Kau sibuk apsal?!" Soal Suraya dengan kasar tanpa memandang ke arah Zakuan yang sedang berdiri di sebelah meja. Zakuan masih lagi tenang. Dia sendiri sudah menjangka reaksi dingin Suraya terhadapnya.
"Saya ada belikan kuih karipap untuk awak. Makanlah, share dengan kawan-kawan." Ujar Zakuan seraya meletakkan plastik berisi karipap di atas meja. "Taknak ! Takde selera !" Herdik Suraya. Plastik berisi kuih itu dicapainya lalu dicampakkan ke lantai. Dia bingkas bangun meninggalkan tempat itu.
Kartini, Hanim dan Fatin tergamam dengan tindakan Suraya. Dengan perlahan, Zakuan mengutip satu-persatu karipap yang bertaburan di atas lantai. Dalam redup matanya, dia memandang langkahan Suraya yang semakin menjauh.
********************
"Awak ni kenapa?" Soal Kartini sebaik sahaja melangkah masuk ke bilik. Suraya memperlahankan volume laptopnya. "Kenapa apa?" Tanya Suraya. "Kenapa awak campak kuih karipap tadi?" Kartini menyoal. "Padan muka dia. Biar dia rasa." Balas Suraya. Barulah hatinya puas setelah dapat membalas dendam terhadap Zakuan. "Tak baik awak buat macam tu. Kalau yer pun awak marahkan dia, takkan sampai nak kena campak makanan. Berdosa tau." Ujar Kartini. Dia sedikit kesal dengan perlakuan Suraya di kafe tadi.
Suraya terdiam. Kata-kata Kartini itu terkesan di hatinya. "Lantaklah. Siapa suruh cari fasal dengan saya. Lagipun dia yang mulakan dulu." Suraya cuba membela dirinya. Kartini hanya menggelengkan kepala sambil melabuhkan punggung di sisi katil. "Awak tahu tak, dia pergi beli karipap tu dekat gerai Makcik Eton semata-mata nak mintak maaf dengan awak." Kata Kartini. Suraya terkejut. "Gerai Makcik Eton? Awak main-main ker ni?" Suraya membulatkan matanya. Dia mahukan kepastian dari Kartini. "Kalau awak tak percaya, boleh tanya Fatin dengan Hanim." Balas Kartini. Suraya membungkam. Perasaan bersalah segera menyelubungi dirinya.
Karipap Makcik Eton sememangnya makanan kegemaran Suraya sejak dari tahun pertama lagi. Namun untuk merasa keenakan karipap itu, dia harus ke gerai kecil milik Makcik Eton yang terletak di persimpangan jalan menuju ke kilang sawit Fong Keong. Jarak antara kampus dan gerai itu tidak kurang 20 kilometer jauhnya. Dia sendiri pun jarang sekali dapat pergi ke gerai itu. Jika kebetulan dia keluar ke bandar, pasti Suraya akan singgah untuk membeli karipap kegemarannya. Seingat-ingat dia, kali terakhir dia membeli karipap Makcik Eton ialah kira-kira sebulan yang lalu.
"Awak termenung kenapa?" Tanya Kartini. Suraya tersedar dari lamunannya. "Takde apa-apa." Jawab Suraya ringkas. Volume laptop kembali dikuatkan. Lagu 'Selamat Malam' dendangan Faizal Tahir terus berkumandang. Suraya menyanyi-nyanyi riang, namun ia tidak mampu untuk menghapuskan rasa bersalah yang bersarang di jiwanya.
"Saya nak pergi jogging kejap lagi. Fatin dengan Hanim pun ikut sekali. Awak nak join tak?" Kartini menyoal.
Suraya hanya menggeleng sambil tersenyum hambar.
********************
Lirik matanya melilau mencari kelibat Zakuan. Tidak ramai pelajar yang datang mengulangkaji pelajaran di perpustakaan pagi ini. Suraya melangkah menuju ke sebuah meja yang berdekatan. Buku rujukan dan nota dibelek-beleknya. Entah apa yang dibacanya, dia sendiri pun tidak tahu.
Suraya kembali memandang sekeliling. Tiba-tiba, matanya tertangkap kelibat Zakuan sedang menelaah buku di satu penjuru yang agak terlindung di balik susunan rak. Suraya segera mengemaskan buku dan nota di atas meja lalu bangkit dari tempat duduknya. Langkahannya sengaja dilengah-lengahkan. Ada sedikit perasaan takut dan berdebar yang menempel di sanubarinya ketika ini.
Apabila dia semakin mendekati Zakuan, Suraya berhenti. Dia mengetapkan bibir. Tangan kanannya kejab erat menggenggam tali beg sandang yang tergantung di bahu. "Ish, nak tegur ke tak ni." Bisik hatinya. Suraya menarik nafas dalam-dalam.
"Assalamualaikum." Suraya menyapa.
"Waalaikumussalam." Zakuan menjawab lalu menoleh ke arah suara yang menegurnya.
Suraya menguntumkan senyuman.
"Boleh saya duduk sini?" Tanya Suraya.
(bersambung....)






2 comments:
karipap mak cik eton? kena pegi cari nih.. :P
dekat simpang jalan ke kilang sawit fonf keong :)
Post a Comment