.Miami.Love.Machine.

::..oRanGe..iS..mY..HeaRt..pUrpLe..is..My..sOuL..::

Zakuan mempercepatkan langkahan. Tali beg sandang yang tergantung di bahu kanannya digenggam erat. Amarahnya pagi ini pastinya tertumpu pada jam loceng berharga RM 7.90 yang dibeli di Mydin beberapa hari yang lepas. Ia memilih waktu yang sangat kurang tepat untuk meragam. "Tak apa, balik hostel nanti siap la kau wahai jam loceng." Dia mendengus dalam hati.

Nasibnya agak baik, laluan pejalan kaki waktu ini agak lengang kerana kebanyakan pelajar sedang menghadiri kuliah. Maka dengan senang hati dia dapat berlari-lari anak tanpa perlu mengelak kelibat tubuh sang pejalan kaki yang lain. Sayup-sayup dari jauh kelihatan bangunan Jabatan Kejuruteraan Kimia. Jauh mata memandang, jauh lagi kaki melangkah. Waktu masih berbaki 20 minit dan dia harus cepat sampai. Jika tidak, dia tak akan sempat menjawab kertas soalan ujian mingguan Reservoir Engineering. Semestinya itu satu petaka yang harus dielakkan tatkala usia pengajian sudah menghampiri tahun akhir. Setiap digit markah 'coursework' amat bernilai.

'Marathon' Zakuan tiba di satu simpang tiga laluan pejalan kaki apabila secara tiba-tiba....

Bukkk !!!!

Zakuan tersungkur di kaki lima. Dia mengaduh kesakitan. Buku tulis dan kertas habis bertebaran di atas lantai. Dalam sekilas lirikan, dia sempat melihat seorang gadis jatuh terduduk di sisi tiang. "Aduhh! Hoi ! Buta ker?! Mata letak kat mana?! Simpan dalam poket?!" Tengking Suraya. Zakuan tergamam. Dia mencapai beg sandangnya yang tercampak lalu bingkas bangun. Sengal-sengal lututnya yang tadi terasa sakit segera hilang setelah melihat gadis itu menyeringai kemarahan. "Err..saya mintak maaf. Saya tak sengaja. Saya nak cepat tadi. Awak tak apa-apa?" Soal Zakuan. Dia melihat gadis itu sedang terbongkok-bongkok mengutip helaian kertas dan buku yang bertaburan. Terdorong oleh rasa bersalah, Zakuan turut sama mencangkung dan cuba untuk membantu tetapi ditegah oleh gadis tersebut. "Tak payah susah-susah. Saya boleh kutip sendiri. Lain kali kalau berjalan mata tengok depan. Menyusahkan orang betul. Bangang!" Suraya menghabiskan sisa-sisa kemarahannya yang meluap dengan jayanya.

Hah?! Bangang??

Darah Zakuan menyirap. Telinganya berdesing mendengar perkataan "bangang" yang ditujukan khas untuknya. Dia segera bangun. Gadis itu masih leka mengutip helaian kertas di atas lantai, seperti tidak sekelumit pun dibelenggu perasaan bersalah. "Kan saya dah mintak maaf tadi. Lagipun saya memang tak sengaja." Zakuan membela diri. Suaranya keras tapi mendatar. Nafasnya mencungap turun naik menahan marah tapi dia masih mampu bersabar. Pertama kali dalam sejarah hidupnya selama 26 tahun, dia dipanggil "bangang" oleh seorang gadis.

Setelah habis mengutip helaian-helaian kertas yang bertaburan tadi, gadis itu bangun dan berdiri di hadapannya. Anak mata Zakuan pantas menangkap imej seorang perempuan berkulit putih, dengan ketinggian hampir sama dengannya iaitu sekitar 5 kaki 8 inci, bertudung litup ala-ala Yuna, bermata jernih dengan hiasan 'eyeshadow' berwarna pink keputihan, bibir mongel yang diselaputi 'colorless lip-gloss' serta berbulu mata lentik, pipi yang merona dek 'blusher' merah pudar, berseluar denim hitam yang sedikit longgar dan blaus labuh berwarna putih berlengan tiga suku dengan corak bunga-bunga halus berwarna biru laut. Cantik. Zakuan terkesima.

"Bangang !!" kata Suraya separuh menjerit seraya berlalu pergi meninggalkan Zakuan yang tercegat seperti tunggul. Dia tercengang.

********************

"Terima kasih kak." Kata Zakuan sambil membayar harga makanan. Tray yang berisi sepinggan nasi ayam dan semangkuk sup itu ditatangnya dengan berhati-hati sambil matanya melilau mencari meja kosong. Kebetulan, dia ternampak sebuah meja kosong tidak jauh dari tempat dia berdiri. Lalu dengan segera dia menuju ke situ. Setelah meletakkan tray makanan di atas meja, dia menyeluk poket seluar jeansnya dan mengeluarkan sekeping not RM 1. Hajatnya untuk pergi membeli air terbantut tatkala namanya dipanggil. Zakuan menoleh. Khairul dan Din berjalan menghampirinya sambil menggalas beg. Barangkali mereka baru pulang dari kuliah, fikirnya.

"Makan sorang je?" Soal Khairul sambil membetulkan cermin matanya. "Sorang je. Nak join?" Pelawa Zakuan. Bau aroma 'char kuey tiaw' berlegar-legar di segenap ruang Kafeteria Selasih. "Boleh jugak. Aku pun tengah lapar ni." Tingkah Din. Kembang kuncup hidungnya menangkap bau-bauan enak di kafe itu. Tanpa berlengah, dia terus ke Warung Bong Mohsin. "Kau taknak makan ke?" Zakuan menyoal Khairul yang masih tercegat di hadapannya. "Aku beli air dulu la. Tak tahu lagi nak makan apa." Jawab Khairul ringkas. "Tolong belikan aku air sirap." Pinta Zakuan sambil menghulurkan not RM 1 yang dipegangnya. Khairul mencapai wang kertas itu seraya berlalu.

Zakuan mengambil tempat di meja makan tadi. Sementara menunggu rakan-rakannya, dia membelek-belek kertas soalan ujian tadi. Dahinya berkerut bila melihat kertas soalan itu. Ada garis-garis kerisauan terlukis di raut wajahnya. Dengan masa yang tinggal hanya 20 minit, dia kurang pasti jika dia mampu menjawabnya dengan betul walaupun kesemua 4 soalan dijawabnya lengkap. Ditambah pula dengan insiden di laluan pejalan kaki tadi, telah sedikit sebanyak mengganggu konsentrasinya.

Dia kembali 'mengulang-tayang' kejadian tadi di dalam kotak memorinya. Semuanya berlaku dengan agak pantas. Zakuan cuba untuk mengingati rupa gadis tersebut, namun agak samar. "Tak apa. Nanti mesti terserempak lagi." Katanya di dalam hati. Sedang dia leka mengelamun, Din dan Khairul datang membawa makanan dan air. Tanpa membuang masa, mereka segera menikmati makan tengah hari yang sudah sedia untuk dijamah. Ketiga-tiga orang sahabat baik itu menjamu selera sambil bersembang.

Setelah selesai menghabiskan makanannya, Zakuan bangun dari tempat duduknya untuk pergi mencuci tangan. Tiba-tiba, matanya menangkap kelibat gadis yang dilanggarnya tadi sedang membeli cempedak goreng. Zakuan menarik nafas dalam-dalam lalu dia memberanikan diri mendekati gadis itu. "Banyaknya beli cempedak goreng. Nak makan sorang ke makan dengan roommate?" Tegur Zakuan. Gadis itu sedikit terkejut dengan sapaan Zakuan. Apabila dia memandang wajah Zakuan yang sedang tersenyum, serta-merta air muka Suraya berubah. Raut wajahnya masam mencuka. "Suka hati aku laa nak beli banyak ke sikit. Sibuk apahal?!" Suara Suraya meninggi. Dia agak kurang senang dengan sapaan Zakuan sebentar tadi, ditambah pula dengan ukiran senyuman manis pada bibir Zakuan yang seolah-olah memerlinya, walaupun pada hakikatnya hati kecilnya mengiyakan senyuman itu memang manis. Peristiwa di laluan pejalan kaki pagi tadi masih segar dalam kotak ingatannya.

"Kenapa awak marah sangat? Saya betul-betul tak sengaja tadi. Saya dah terlewat nak ke kuliah. Saya ada test. Saya tak nampak awak kat simpang tadi. Saya mintak maaf banyak-banyak." Tenang suara Zakuan berbicara. Suraya masih lagi tercegat di situ. Wajahnya dihalakan ke arah makcik yang sedang rancak menggoreng cempedak. Tiada sepatah perkataan yang keluar dari mulutnya. Suraya sedikit kesal dengan perlakuan dan bahasanya yang agak kasar terhadap Zakuan. Dia tahu, Zakuan memang tidak sengaja melanggarnya tadi. Namun, masalah peribadi yang berselirat di jiwanya waktu itu menyebabkannya hilang pertimbangan. "Dik, dah siap." Ujar makcik itu sambil menghulurkan plastik berisi cempedak goreng panas. Suraya tersipu-sipu. Barangkali makcik itu sudah memerhatikan 'drama swasta' antara dia dan Zakuan sejak dari tadi. Untungnya makcik hari ni, dapat tengok drama 'free', desis hati Suraya. Dia mencapai plastik itu lalu membayar harganya.

"Okey. Apology accepted." Suraya bersuara. Wajahnya menunduk.
"Thanks. Saya balik dulu. Jumpa lagi." Kata Zakuan lalu berlalu dari situ.

"Eeeiii, sape nak jumpa kau lagi. Takde maknanya." Suraya mencebik sambil melihat Zakuan bersama rakan-rakannya melangkah semakin jauh dan hilang dari pandangan matanya.



(bersambung....)

0 comments:

Post a Comment

..: my ads :..

..: my profile :..

My photo
unique, passionate, gorgeous, dynamic, tolerant, observer, listener, kind-hearted, gentleman, hilarious, friendly, calm, cool, sentimental, rock ballad, Bee Gees, Lionel Richie, Man Utd, fish, aquarium, Rooney, 80's, volleyball, darts

..: my clock :..

..: my shout :..


ShoutMix chat widget

..: my visitor :..

..: my LTF :..

..: my list :..

..: my fans :..

..: my track :..

..: WANTED :..

  • 2) jam tangan
  • 3) Nokia E66