Sejak pertemuan terakhirnya dengan Farah berlangsung beberapa minggu yang lepas, Rafiz telah berubah menjadi seorang yang pendiam. Sepanjang perjalanan menuju ke lapangan terbang, Rafiz lebih banyak mendiamkan diri daripada bercakap. Pandangannya dilemparkan jauh ke luar tingkap teksi yang membawa mereka. Haris menyedari perubahan yang berlaku pada sahabat baiknya itu namun dia hanya memerhatikan sahaja. Malas hendak ditegurnya. Dia membiarkan Rafiz melayan perasaan seorang diri. Teksi terus meluncur laju.
Selepas 20 minit perjalanan, mereka tiba di Lugano Swiss Airport yang terletak kira-kira 30 kilometer dari pusat bandar Zurich. Setelah mengeluarkan bagasi dari bonet belakang dan membayar harga tambang teksi, mereka berjalan menuju ke ruang legar Lugano yang sudah dipenuhi dengan orang ramai yang mengambil penerbangan malam. Memandangkan mereka tiba agak awal dan penerbangan ke Bangkok hanya akan berlepas pada jam 9.45 malam, iaitu kira-kira satu jam setengah dari sekarang, mereka mengambil peluang ini untuk merayau-rayau di Crowne Archie. Crowne Archie adalah kawasan membeli-belah berskala sederhana besar yang terletak di dalam Lugano Swiss Airport, iaitu di bahagian Majestic Wing. Kawasan Crowne Archie ini dipenuhi dengan gerai-gerai menjual cenderamata, replika-replika patung, arak berkualiti tinggi dan juga pakaian. Antara cenderamata yang paling banyak dijual di sini adalah loceng lembu yang sangat popular di Switzerland.
Gerai menjual cenderamata menjadi tumpuan Rafiz manakala Haris pula sedang leka menelek helaian-helaian baju yang bergantungan di sebuah gerai menjual pakaian. Rafiz meneruskan langkahan menuju ke gerai bersebelahan sambil matanya melilau memerhatikan sekeliling. Tiba-tiba, dia ternampak Farah sedang berjalan kaki memasuki ruang legar sambil tangannya menarik satu bagasi besar. Rafiz agak terkejut. Dia tidak menyangka akan bertemu Farah sekali lagi.
"Apa dia buat kat sini?" Desis Rafiz di dalam hati.
Perasaan curiga memaksa Rafiz untuk pergi menyiasat. Dengan berhati-hati dia mengatur langkah agar kehadirannya tidak disedari. Sampai di satu sudut, Rafiz berselindung di sebalik tiang dan memerhatikan setiap gerak-geri Farah. Kelihatannya dia seperti sedang menunggu seseorang. Sesekali Farah melihat jam di tangan. Rafiz kehairanan dengan apa yang sedang berlaku di hadapan matanya sekarang, namun dia juga tidak sabar menantikan 'kejutan' apakah yang bakal diterimanya nanti.
Beberapa ketika kemudian, dia melihat Farah bangun dari tempat duduknya sambil tersenyum. Jantung Rafiz semakin berdegup kencang. Satu saat, dua saat, tiga saat, empat, lima....
Rafiz tergamam.
********************
Penerbangan ke Bangkok baru sahaja berlepas kira-kira 15 minit yang lalu dan ianya akan mengambil masa selama 15 jam. Memandangkan tempoh perjalanan yang akan ditempuh agak panjang, Haris telah membeli beberapa keping majalah di Crowne Archie untuk dibaca semasa di dalam penerbangan. Lalu, dia mengeluarkan 2 keping majalah dari dalam beg sandangnya.
"Nah, Reader's Digest. Kau kan suka baca." Kata Haris sambil menghulurkan buku itu ke arah Rafiz yang duduk bersebelahannya. Namun tiada respon dari Rafiz.
"Bro, buku !" Haris menyergah Rafiz yang sedang termenung dari tadi. Rafiz sedikit terkejut.
"Dalam teksi termenung, dalam flight termenung. Apahal?" Soal Haris. Dahinya berkerut.
"Tadi kat Lugano, aku nampak.." kata-kata Rafiz terhenti di situ.
"Nampak apa?" Soal Haris lagi.
Rafiz tidak dapat meneruskan ceritanya. Masih terbayang di matanya, bagaimana dia melihat lelaki itu memimpin tangan Farah sambil berjalan seiringan, bagaimana dia melihat Farah memandang wajah lelaki itu dengan penuh rasa cinta, bagaimana dia melihat kemesraan yang terjalin antara kedua-duanya.
Luka yang masih belum sembuh telah berdarah kembali. Hakikat yang sangat pahit untuk ditelan, namun Rafiz hanya mampu bersabar. Baru dia faham, Farah 'memberontak' untuk 'melepaskan diri' kerana hatinya sudah berubah. Rafiz tidak mengenali dan tidak ingin mengenali siapa lelaki itu, dan dia berharap tidak akan dipertemukan lagi dengan Farah selagi dia bernyawa. Baginya, Farah Idayu adalah suatu sejarah yang harus dilupakan.
Haris sudah lama melelapkan mata. Begitu juga dengan penumpang-penumpang yang lain. Tempoh penerbangan sudah melewati jam yang ketujuh. Rafiz merasakan matanya semakin berat. Badan yang penat, ditambah dengan otak yang berserabut, kecelaruan emosi, semuanya datang silih berganti. Keadaan mungkin akan berlarutan begini untuk beberapa ketika. Rafiz menyedari akan hal itu. Namun dia harus tabah dan menguatkan semangat untuk meneruskan hidup. Apa yang telah berlaku bukanlah penamat untuk segala-galanya.
Sebelum tidur, Rafiz sempat memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT.
"Ya Allah, andainya apa yang berlaku dalam hidup aku sekarang adalah ujian dariMu, aku redha. Andainya apa yang berlaku ini adalah satu rahmat dariMu, aku menerimanya dengan hati yang terbuka. Kau berilah aku petunjuk, semoga hidupku sentiasa berada dalam perlindunganMu. Aku bermohon kepadaMu, agar dipertemukan aku dengan seseorang yang terbaik untuk diriku. Amin"
Rafiz percaya, ada seseorang yang telah ditakdirkan untuk menjadi teman hidupnya. Siapa, bila, di mana, bagaimana, hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui. Waktu yang akan menentukan segalanya. Detik pertemuan itu pasti akan tiba jua. Penglihatannya semakin kelam. Dan dia terus berlabuh dalam alam mimpi, meninggalkan alam realiti. Swiss Airlines tenang membelah langit malam.
Doa Rafiz dibawa angin lalu.
********************
Angin petang menyapa lembut wajahnya. Tudung coklatnya beralun-alun ditiup angin. Dia terhibur melihat kanak-kanak berlari riang di gigi air. Nun di kejauhan, bot-bot nelayan yang baru pulang dari laut mula bergerak mendekati Pelabuhan Phra Nongkracai. Dia sukakan suasana sebegini. Menenangkan. Matahari semakin berbalam-balam di ufuk. Sudah agak lama di situ, maka sudah tiba masa untuk pulang. Dia bingkas bangun lalu mengesat-ngesat pasir yang melekat di gaun labuh berwarna hitam yang dipakainya. Dia harus cepat pulang kerana malam ini gilirannya menyediakan makan malam.
Baru sahaja hendak melangkah, deruan angin pantai menghembus. Sandal yang dipegangnya terjatuh. Dia seakan-akan seperti terdengar suara seseorang sedang menitipkan doa. Suara halus yang 'bersatu' dengan hembusan bayu tadi. Hana terkesima....
(bersambung...)






0 comments:
Post a Comment