Jam sudah menunjukkan pukul 8 pagi. Rafiz tergesa-gesa keluar dari bilik. Dalam hatinya dia tak putus-putus membebel memarahi dirinya sendiri yang sudah terlambat untuk ke pejabat. Rozenan sudah lama menunggu di bawah. “Padan muka ! Siapa suruh tidur lepas subuh tadi. Tak pasal-pasal bangun lambat.” Leternya di dalam hati.
Selesai mempersiapkan diri, Rafiz terus ke bawah. Dia menuangkan air kopi ke dalam cawan dan meminumnya dengan pantas. Terkonyoh-konyoh dia memakai kasut. “Hishh, tak ubah-ubah perangai.” Rozenan meleteri Rafiz setelah pintu kereta ditutup. Beberapa saat kemudian, mereka bertolak ke pejabat urusan milik Rozenan yang terletak di Aulong. Perjalanan mereka agak lancar kerana trafik pada pagi itu tidak begitu sesak.
Pintu pejabat dikuak. Kedatangan mereka berdua disambut oleh Miss Meykhorn, kerani yang bertugas di bahagian akaun dan pentadbiran. Rozenan hanya mempunyai 2 orang pekerja sahaja, iaitu Miss Meykhorn dan Jhantirp. Jhantirp adalah pekerja am yang bertugas di bahagian bengkel, juga merangkap storekeeper. Kedua-duanya adalah rakyat tempatan dan sudah lama bekerja di sini. Menurut Rozenan, mereka bukan sahaja bagus bekerja tetapi juga amanah. Maka Rozenan sendiri tidak keberatan untuk menawarkan gaji lumayan kepada mereka agar mereka kekal bekerja di sini. Di zaman ini, semakin sukar untuk mencari pekerja yang rajin dan benar-benar amanah, itu yang difikirkan Rozenan.
Rafiz mengambil tempat di sofa lalu membelek-belek beberapa fail syarikat yang diambil dari rak tadi. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Nombor yang tidak dikenali tertera pada skrin. Lalu Rafiz menjawabnya.
“Good morning. May I speak to Mr. Rafiz Zulkifli?” Kedengaran suara wanita di hujung talian.
“Yes. Can I help you?” Rafiz menyoal kembali.
“I’m Mrs. Hadaya from Highwood Construction Services. I believed you’d submitted your resume to us a few weeks ago, applying for a post as project engineer.” Terang wanita itu.
“Yes.” Jawab Rafiz ringkas.
“I would like to call you for an interview session. Are you interested?” Wanita itu bertanya.
“Sure. When?” Rafiz teruja.
“Since your current address stated that you’re staying in Zurich, maybe we can just conduct the interview through the phone.” Ujarnya lagi.
“No need madam. I’m already in Bangkok.” Kata Rafiz.
“Oh great. Then you can come to our headquarters. So, how about this afternoon at 3 o’clock? Is it okay?” Soal Mrs. Hadaya.
“Okay. Please email me the details including your address. I’ll find it out.” Ujar Rafiz.
“Sure.” Kata Mrs. Hadaya menamatkan perbualan.
Lebih kurang 5 minit kemudian, Rafiz memeriksa akaun emelnya dan menyalin segala butiran yang telah diberi di atas sehelai kertas. Rafiz segera mendapatkan Rozenan yang sedang berbincang dengan Jhantirp di luar. Dia memaklumkan tentang panggilan temuduga yang baru diterimanya sebentar tadi dan meminta bantuan Rozenan untuk menghantarnya pukul 3 nanti. Rozenan bersetuju.
********************
Selesai proses temuduga, Rafiz keluar dari ibu pejabat Highwood Construction Services dengan hati yang lapang. Semuanya berjalan dengan lancar. Dan Alhamdulillah, dia diterima bekerja dengan serta-merta. Sesuatu yang tidak disangka langsung oleh Rafiz. Apabila ditanya mengapa dia diterima dengan serta-merta, pihak lembaga pengarah yang mengendalikan temuduga tadi memberitahu yang mereka pernah menghubungi Mr. Olssen iaitu bekas majikannya di Zurich dahulu untuk bertanyakan tentang Rafiz. Mereka mendapati rekod kerjanya sangat cemerlang semasa mengendalikan projek di Brenhaden Oak dahulu dan itu telah meyakinkan mereka. Rafiz bersyukur kerana dimurahkan rezeki oleh Allah Taala. Maka tidak perlulah dia menganggur terlalu lama di sini.
“Amacam? Okay tak?” Soal Rozenan sambil melipatkan surat khabar yang baru selesai dibacanya.
“Aku dapat kerja tu.” Jawab Rafiz sambil tersenyum lebar.
“Eh, biar betul. Apsal cepat sangat dapat result?” Raut wajah Rozenan mengerut.
“Nantilah aku cerita kejap lagi. Aku lapar ni. Kau tak lapar ke?” Rafiz menepuk-nepuk perutnya yang berkeroncong.
Rozenan baru teringat yang dia masih belum menikmati makan tengah hari. “Belum makan lagi. Jom pergi makan.” Kata Rozenan.
“Hari ni aku belanja.” Ujar Rafiz sambil ketawa berdekah-dekah.
Rozenan tersenyum lebar.
********************
“Projek dekat Narathiwat?” Tanya Rozenan.
Rafiz mengangguk.
“Berapa tahun?” Tanya Rozenan lagi.
“Katanya setahun.” Jawab Rafiz.
“So kau kena pindah duduk sana lah jawabnya.” Ujar Rozenan. Seperti ada sesuatu yang membelenggu fikirannya.
“Nampak gaya macam tu lah. Aku tengok kau macam ada benda tak kena je, apsal?” Bahu Rozenan ditepuk.
“Takde apa-apa. Aku cuma risau je. Kau duduk sana sorang-sorang. Takut ada apa-apa hal, sakit pening ke..” Suara Rozenan mendatar.
“Tak payah risaulah. InsyaAllah takde apa-apa.” Rafiz menenangkan Rozenan. Dia terharu dengan sikap mengambil berat yang ditunjukkan sahabat baiknya itu.
Rozenan hanya mengangguk perlahan. Makanan di dalam pinggan segera dihabiskan. Sebentar lagi mereka akan bergerak ke Payathai untuk menjemput Haris.
********************
Kenderaan bersimpang-siur di atas jalan raya di pekan Chuntrang. Orang ramai berpusu-pusu ke sana sini. Kelibat Kak Mala masih belum kelihatan. Hana melihat jam di tangan sudah menunjukkan pukul 5.15 petang. Setelah tamat sesi persekolahan jam 4.00 petang tadi, Hana terus menaiki bas dari Pracheen menuju ke Chuntrang yang terletak beberapa kilometer dari Nakhon Prantip. Kak Mala telah menelefonnya beberapa jam yang lalu untuk meminta pertolongan Hana menemaninya ke butik pengantin milik kawannya di sini.
Di celahan orang ramai yang melata, dia ternampak Kak Mala sedang berjalan kaki menuju ke arahnya sambil melambai-lambaikan tangan. Hana tersenyum.
“Lama dah Hana tunggu?” Tanya Kak Mala. Beg plastik yang dijinjitnya diletakkan ke bawah.
“Hana pun baru sampai tadi.” Ujar Hana.
“Mintak maaf lah. Akak terlambat sikit tadi. Temankan Abang Yusof beli baju batik.” Terang Kak Mala.
“Takpe kak. Hana tak kisah.” Kata Hana sambil menguntumkan senyuman.
“Jom. Kawan akak dah lama tunggu dekat butik.” Kata Kak Mala. Beg plastik yang diletakkan tadi dijinjitnya semula.
Mereka berdua berjalan seiringan sambil berbual-bual.
Lebih kurang 5 minit kemudian, mereka berdua tiba di hadapan butik MyBridal.com milik Puan Khongmalai. Dia adalah penduduk asal Chuntrang dan sudah menetap di sini sejak kecil. Perniagaan butik pengantin yang diusahakannya sekarang sudah berusia hampir 15 tahun. Puan Khongmalai sudah kematian suami 5 tahun yang lalu. Butik pengantin ini diusahakannya bersama dengan anak lelaki tunggalnya, Winai.
Kak Mala dan Puan Khongmalai sedang rancak berbual. Hana mengambil peluang untuk meninjau koleksi pakaian pengantin yang beraneka fesyen dan warna yang terdapat di situ. Semuanya cantik-cantik. Hana pernah melihat fesyen-fesyen baju pengantin begini diperagakan di dalam televisyen. Dia berangan-angan memakai salah satu fesyen baju pengantin yang terdapat di situ pada majlis perkahwinannya kelak. Tentu kelihatan anggun dan jelita, desis hatinya.
“Silalah pilih yang mana berkenan.” Satu suara menegurnya dari belakang. Hana tersedar dari angan-angannya. Hishh, siapa pulak yang kacau daun ni. Orang baru nak berangan, rungut Hana. Lantas dia berpaling. Seorang anak muda yang tinggi lampai sedang memandangnya sambil tersenyum manis. Hana mengerutkan keningnya. Dia tidak pernah melihat pemuda ini.
Siapa pulak ni? Pekerja Puan Khongmalai ker?
Melihatkan raut wajah Hana yang sedikit berubah, pemuda itu seperti mengerti apa yang bermain-main di fikiran gadis itu. “Saya Winai.” Pemuda itu memperkenalkan diri. Hana mengangguk perlahan. “Saya Hana.” Balasnya pendek. Inilah kali pertama dia bersua muka dengan Winai. Selama ini dia hanya mengenali namanya sahaja. Tiba-tiba Hana kehairanan. “Awak boleh cakap Melayu?” Soalnya sedikit terkejut. Winai tergelak kecil. “Saya ada ramai kawan Melayu di Kelantan. Lagipun saya selalu ke sana untuk menghantar pakaian. Saya belajar sendiri.” Terang Winai. Pertuturan bahasa Melayunya agak fasih, walaupun terdapat sedikit pelat Thailand. Tetapi masih boleh difahami.
Setelah berada di situ hampir sejam, Kak Mala meminta diri untuk pulang. Hana bingkas bangun dari sofa. Begitu juga dengan Winai. “Terima kasih sebab sudi berbual-bual dengan saya.” Ucap Winai. Hana mengukirkan senyuman. “Sama-sama.” Jawab Hana. Beberapa ketika kemudian, Kak Mala dan Hana beredar dari situ. Langkahan mereka terhenti tatkala kedengaran nama Hana dipanggil dari belakang. Winai datang menghampiri mereka.
“Boleh saya mintak nombor telefon awak?” Pinta Winai.
Hana mengetapkan bibir sambil menjeling ke arah Kak Mala yang sedang tersenyum nakal....
(bersambung....)






0 comments:
Post a Comment