Rafiz tidak mempedulikan panggilan dari Farah itu lalu dia segera mematikan telefon bimbitnya. Langkahannya dipercepatkan mengekori Rozenan dan Haris yang sudah jauh di depan. Tiada gunanya jika dia menjawab panggilan telefon itu. Hanya perbuatan yang sia-sia, fikir Rafiz. Dia sebenarnya tidak menyangka Farah akan masih lagi cuba menghubunginya.
"Sape call?" Soal Haris tatkala Rafiz datang menghampiri.
"Salah nombor." Jawab Rafiz ringkas.
Haris tidak mengesyaki apa-apa. Pintu kereta dikuaknya luas. "Kita nak ke mana pulak ni?" Rafiz melantunkan pertanyaan, mengharapkan sama ada Rozenan atau Haris sudi menjawabnya. Dia masih lagi terkial-kial di tepi kereta, sementara Rozenan dan Haris sudah siap memakai tali pinggang keledar. "Aku nak singgah Sunny Mall kejap. Jumpa customer. Sambil-sambil tu korang pusing-pusing la dalam mall tu. Kot-kot nak shopping ke." Ujar Rozenan lalu menghidupkan enjin kereta. Rafiz hanya mengangguk dan melangkah masuk ke dalam kereta.
********************
Alunan lagu 'You're The Inspiration' dendangan kumpulan Chicago menyambut kedatangan 3 orang sahabat itu tatkala mereka menjengah masuk ke dalam Sunny Mall. Angin penghawa dingin benar-benar menyamankan. Tidak ramai pengunjung yang datang dan keadaan di situ agak lengang. "Aku nak pergi jumpa customer kejap. Korang pergi la jalan-jalan dulu. Nanti tunggu aku dekat sini." Ujar Rozenan seraya berlalu. Haris dan Rafiz masih lagi terpisat-pisat ibarat rusa masuk kampung. Tidak tahu ke mana hendak dituju. Kedua-dua sahabat itu hanya mengikut hayunan langkahan kaki.
Setelah beberapa ketika berjalan meneroka pusat membeli-belah itu, kedua-duanya melintasi sebuah toko buku. Rafiz berhenti melangkah. Tiba-tiba timbul keinginannya untuk membeli bahan bacaan. "Aku nak masuk kedai buku tu kejap. Nak ikut?" Soal Rafiz sambil memandang Haris. "Kau pergilah. Aku nak pergi kedai komputer kat depan sana tu." Haris menyuakan jari telunjuknya ke arah sebuah kedai komputer tidak berapa jauh dari tempat mereka berdiri. "Ok. Nanti aku cari kau kat sana." Kata Rafiz. Haris mengangkat ibu jari tangan kanannya menunjukkan isyarat 'bagus' lalu beredar.
Rafiz memasuki kedai buku itu dan mundar-mandir melihat buku-buku yang tersusun kemas di atas rak. Dia berjalan mendekati rak yang terpampang papan tanda bertulis 'General Knowledge' lalu membelek satu persatu buku yang dipamerkan di situ. Buku bertajuk 'Fundamental of Geology' menarik perhatiannya. Itu adalah buku kesayangannya semasa menuntut di universiti dulu. Dia pernah memiliki buku tersebut tetapi sudah hilang. Barangkali dicuri. Rafiz berkira-kira mahu membeli buku itu, tetapi dia membatalkan hasratnya. Dia bercadang untuk datang sekali lagi ke kedai ini minggu hadapan untuk membelinya. Lalu buku 'Fundamental of Geology' itu kembali diletakkan ke tempat asalnya. Rafiz meneruskan langkahan menuju ke rak bersebelahan.
----------
"Takkan dah takde kot? 2 hari lepas aku tengok ada lagi." Omel Hana dalam hati. Sudah beberapa kali dia mencari di keseluruhan rak itu namun buku yang dikehendakinya tidak ditemukan. Setelah lama mencari, dia hampir berputus-asa. Hana mengeluh perlahan sambil matanya terus melilau di segenap inci rak buku. Dia beranggapan perjalanannya dari Narathiwat ke Bangkok pada hari ini akan berakhir dengan kesia-siaan. Buku tak dapat, penat yang dapat, fikir Hana.
Beberapa ketika dia termenung di hadapan rak buku itu. Hana baru sahaja terfikir untuk pulang apabila dia terpandang seorang pekerja kedai buku itu lalu di hadapannya. Dia mahu bertanyakan kepada pekerja itu andai buku yang dicarinya masih ada dalam stok simpanan. Lelaki warga Thai beruniform putih itu dilihatnya sedang mengangkat kotak berisi gulungan kertas berwarna-warni menuju ke bahagian ruang belakang. Lantas Hana mengekorinya perlahan.
Sampai di satu penjuru, langkahan Hana termati. "Mana pulak dia pergi? Cepatnya dia hilang." Bebel Hana. Kelibat pekerja tadi tidak kelihatan di mana-mana. Hana mencebik. Pandangannya meliar mencari lelaki tadi. Apabila dia menoleh ke arah kiri, Hana melihat lelaki itu sedang tercegat di hadapan sebuah rak buku sambil membelakanginya. Lantas Hana mendekati lelaki itu dari belakang dan menepuk perlahan bahunya. "Excuse me. I'm looking for..." belum sempat Hana menghabiskan pertanyaannya, lelaki itu memusingkan badannya.
"Rafiz?"
"Hana?"
Itu ungkapan pertama yang terpacul dari mulut Hana dan Rafiz tatkala kedua-dua mereka bertentang mata.
(bersambung...)






0 comments:
Post a Comment