Di luar cuaca agak sejuk. Suhu barangkali sekitar 15 hingga 20 darjah Celcius. Pada waktu begini, kebanyakkan warga Zurich lebih selesa bersantai di rumah setelah pulang dari kerja. Aktiviti-aktiviti luar banyak dikurangkan. Namun, ada juga di antara mereka yang gemar menghabiskan masa di pusat membeli-belah atau bersosial di kelab malam bersama teman-teman.
Rafiz masih di berada pejabat. Setia ditemani oleh beberapa buah dokumen 'Schedule Of Rates', gulungan-gulungan lukisan projek yang bersepah di atas meja dan sebuah komputer. Jam sudah hampir melangkaui pukul 7 petang namun tidak ada tanda-tanda Rafiz akan berhenti daripadai menyiapkan kerjanya. Agak lama juga dia termenung di hadapan skrin komputer, memerhatikan graf 'S-Curve' yang baru dikemaskini. Tinggal sebulan sahaja lagi tempoh masa untuk menyiapkan projek pembinaan empangan di Brenhaden Oak, dan mengikut perkiraannya, empangan itu mampu untuk disiapkan mengikut jadual.
"Projek tinggal sebulan saja lagi. Lepas itu..." omelan Rafiz terhenti di situ.
Pinggangnya terasa lenguh. Terlalu lama dia berada dalam postur yang tidak ergonomik. Perlahan-lahan Rafiz menyandarkan tubuhnya ke kerusi, lalu memandang ke arah siling. Sekilas, cadangan yang diutarakan oleh Haris di Lady Marmalade kelmarin kembali menggamit. Rafiz merasakan cadangan Haris itu harus difikirkan semasak-masaknya. Jika diambil kira dengan situasi yang sedang dihadapinya sekarang, mahu saja dia bersetuju dengan cadangan Haris itu. Tetapi, dia harus berfikir panjang terlebih dahulu dan membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum mengambil sebarang keputusan muktamad. Dia tidak mahu menyesal di kemudian hari dengan keputusan yang diambilnya.
"Aku rasa, lagi lama kau duduk di Zurich ni, lagi menyesakkan kepala." Tegas Haris.
"So?" Soal Rafiz pendek. Keningnya sedikit mengerut.
"Kau ikut aku pindah." Ringkas sahaja jawapan Haris.
Rafiz tersentak. Diamatinya riak wajah Haris. Tiada tanda-tanda seperti dia bergurau.
"Pindah? Sebab?" Soal Rafiz ingin tahu.
"Aku dapat naik pangkat jadi 'Regional Manager'. Syarikat aku baru buka cawangan di Asia Tenggara. So aku terpaksa pindah ke sana." Kata Haris.
"Bila kau kena pindah?" Tanya Rafiz.
"Bulan depan." Haris menjawab.
"Kau kena pindah ke mana?" Soal Rafiz lagi.
"Narathiwat." Balas Haris ringkas.
Rafiz terdiam. Otaknya ligat berputar menginterpretasi input yang baru diterima. Setiap patah perkataan yang dituturkan oleh Haris sebentar tadi mengisi setiap slot memori mindanya. Cadangan Haris itu hadir dalam keadaan tidak disangka-sangka. Bunyinya agak menarik, tetapi Rafiz sedar ada perkara yang menghalangnya mempersetujui cadangan itu. Dia masih punya komitmen kerja di Zurich. Projek pembinaan empangan di Brenhaden Oak masih berjalan. Masakan dia boleh berpindah dalam masa terdekat ini. Banyak perkara yang perlu dibereskan terlebih dahulu. Dan sudah pasti, majikannnya tidak akan menerima perletakan jawatannya. Perkara itu terus bermain-main di kotak fikiran Rafiz.
Deringan telefon bimbit mengejutkan Rafiz dari lamunan. Lady Marmalade segera hilang dari khayalannya. Rafiz mencapai telefon bimbit di atas meja. Entah siapa yang menelefon di waktu begini. Barangkali Haris atau Rahman, rakan serumahnya. Namun, setelah melihat nama pemanggil di paparan telefon bimbit, Rafiz seperti tidak percaya apa yang dilihatnya. Dia tidak pasti sama ada mahu menjawab panggilaan itu ataupun tidak. Alunan nada dering masih berterusan.
"Farah? Apa dia nak?" Getus Rafiz di dalam hati.
Rafiz menarik nafas panjang. Papan kekunci ditekan. Lalu, dengan perlahan telefon dilekapkan ke telinga.
"Hai, awak ada di mana?" Kedengaran suara wanita di hujung talian. Suara milik Farah Idayu.
"Pejabat." Jawab Rafiz acuh tak acuh.
"Maaf kalau saya mengganggu. Sebenarnya saya nak berbincang dengan awak berkenaan sesuatu. Mustahak. Saya harap awak tak keberatan. Boleh kita jumpa?" Farah menyoal.
"Di mana? Bila?" Tanya Rafiz dalam nada kehairanan.
"Kita jumpa di Ceylon Tea Trails, pukul 9. See you there." Farah mematikan talian.
Rafiz terpinga-pinga. Setelah hampir 3 bulan menyepi, secara tiba-tiba Farah menelefonnya dan mengajaknya untuk berbincang. Berbincang berkenaan apa, itu Rafiz kurang pasti. Akan tetapi, ada suatu perasaan kurang enak menyelubungi dirinya. Rafiz segera mengemaskan mejanya dan bersiap-siap untuk pulang....
(bersambung...)






0 comments:
Post a Comment