Rafiz bergegas menuju ke kedai buku yang terletak di aras 4. Barangkali Haris sedang mencarinya di situ. Dari jauh dia melihat Haris sedang tercegat di hadapan kedai sambil berpeluk tubuh. "Bro, sorry banyak-banyak. Tadi aku turun bawah kejap." Terang Rafiz. Haris hanya menggelengkan kepala. "Aku call tak dapat. Handphone rosak ker?" Soal Haris. Rafiz segera teringatkan telefon bimbitnya yang dimatikan tadi. Perasaan bersalah mulai bersarang di hati kerana membuatkan Haris tertunggu-tunggu. "Aku off handphone tadi." Jawab Rafiz. "Tak pernah-pernah off handphone. Apsal?" Soal Haris. "Farah call masa dekat kedai makan tadi." Rafiz menerangkan perkara sebenar.
Haris tidak meneruskan pertanyaannya. Seperti ada sesuatu yang bermain-main di fikirannya. Wajah Rafiz ditenungnya seimbas. "Dah, tak payah fikir. Buat sakit kepala jer." Haris menepuk belakang Rafiz. Sementelahan, telefon bimbit Haris berdering. Haris segera menjawabnya. "Okey. Kitorang turun sekarang." Kata Haris seraya mematikan panggilan.
"Jom, Nan dah tunggu kat bawah." Kedua-dua sahabat itu berjalan seiringan menuju ke lif.
********************
Perbualan antara Haris dan Rozenan tidak diendahkannya. Rafiz lebih suka melayan perasaan seorang diri di tempat duduk belakang. Sejak dari tadi, dia hanya memandang ke luar tingkap sambil termenung. Banyak perkara yang berlegar-legar di benak fikirannya, terutama sekali panggilan telefon dari Farah tadi. Emosinya sedikit terganggu. Apa lagi yang Farah mahukan dari dirinya, Rafiz tidak tahu. Cuma apa yang pasti, sejak peristiwa di Lugano Swiss Airport dulu, perasaan bencinya terhadap Farah semakin menebal. Dia juga mahu memadamkan semua ingatannya tentang Farah. Selepas apa yang telah dilaluinya di Zurich, Rafiz seakan-akan sudah serik untuk bercinta. Hatinya terluka dek kecurangan Farah. Kepedihan yang ditanggungnya menyebabkan pintu hatinya sudah tertutup untuk menerima orang lain.
Tanpa dipinta, Hana tiba-tiba muncul dalam khayalannya. Dia segera teringatkan kejadian yang berlaku di Sunny Mall tadi. Sehingga ke saat ini, amat sukar untuknya mempercayai apa yang berlaku. Pada mulanya, dia hanya menganggap kejadian tu cuma kebetulan sahaja. Namun apabila diperhalusi, tampak seolah-olah ianya lebih dari sekadar kebetulan. Rafiz sendiri tidak pernah bermaksud untuk mengambil serius tentang hal itu, cuma desakan hatinya sangat kuat mengatakan ada maksud yang tersirat di sebalik apa yang telah berlaku. Rafiz hanya membiarkan teka-teki itu menyelingkari perasaannya.
Fikirannya merewang menyoroti kembali memori ketika alam persekolahan.
********************
Rafiz mula mengenali Hana seawal di bangku sekolah rendah. Waktu itu, mereka berada di dalam kelas yang sama semasa darjah 5. Walaupun mereka sekelas, namun mereka jarang bertegur-sapa. Bersembang jauh sekali. Rafiz tegar dengan sifat pemalunya terhadap perempuan manakala Hana pula seorang yang pendiam. Rafiz masih ingat, semuanya bermula pada suatu pagi. Dia baru sahaja tiba di kelas tatkala dia didekati Huzaimie, rakan sekelasnya.
"Ye ker? Ahh bohong la kau Mie. Bila masa pulak Hana kirim salam kat aku? Takde maknanya." Rafiz menyangkal Huzaimie.
"Betul, aku tak tipu. Dia kirim salam kat kau. Petang semalam dia pesan kat aku." Huzaimie bersungguh-sungguh memberitahu.
"Boleh percaya ker?" Rafiz cuba menduga.
"Taknak percaya sudah." Ujar Huzaimie lalu beredar.
"Eh, Mie ! Tunggu kejap." Panggilan Rafiz mematikan langkah Huzaimie.
"Apa dia?" Soal Huzaimie.
"Betul eh?" Rafiz bertanya, kali ini nadanya lebih serius.
"Buat apa aku nak tipu." Jawab Huzaimie pendek. Hati Rafiz mulai berbunga-bunga.
"Erm...kau kirim salam balik kat dia." Secara spontan Rafiz menyatakan hasrat. Huzaimie tersenyum tanda bersetuju.
----------
Loceng dibunyikan menandakan tamatnya waktu persekolahan untuk hari itu. Semua pelajar sedang sibuk mengemaskan barang-barang. Seorang demi seorang mulai meninggalkan kelas. Setelah beberapa ketika, kelas menjadi lengang. Hanya tinggal beberapa orang sahaja yang masih lagi duduk berbual-bual di tempat masing-masing. Rafiz masih di tempat duduknya, memerhatikan Hana yang sedang leka menyusun buku. Mahu saja dia mendekati Hana dan menegurnya, tetapi dia segan. Lalu Rafiz mengambil keputusan untuk pulang saja. Dia mencapai beg dan bingkas bangun dari tempat duduknya.
"Rafiz.." Seseorang menegurnya. Rafiz menoleh.
"Err...yer saya." Jawab Rafiz. Jantungnya berdegup kencang. Hana sedang berdiri di hadapannya.
"Betul ker awak kirim salam kat saya pagi tadi?" Soal Hana lembut.
"Oh...err...sape bagitau?" Soalan Hana dijawab dengan pertanyaan.
"Huzaimie yang bagitau, awak kirim salam." Jawab Hana. Renungan matanya seolah-olah mahukan kepastian dari Rafiz.
Rafiz mulai tidak keruan. Malunya aku ! Jeritnya dalam hati.
"Erm.." Rafiz menganggukkan kepalanya.
"Kenapa?" Soal Hana lagi.
Rafiz dapat merasakan degupan jantungnya semakin laju. Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
"Sebab awak kirim salam kat saya." Rafiz memberikan alasannya.
"Bila masa pulak?" Hana mengerutkan kening. Hairan dengan apa yang didengarnya.
"Petang semalam." Jawab Rafiz lagi.
"Sape bagitau?" Hana semakin berminat untuk tahu.
"Huzaimie yang bagitau pagi tadi." Perlahan saja suara Rafiz.
Hana tergelak kecil menampakkan barisan giginya yang putih.
"Kenapa awak gelak?" Soal Rafiz kehairanan.
"Huzaimie dah kenakan awak. Dia saja buat-buat cerita." Terang Hana. Tawanya semakin reda.
"Macam mana awak tahu?" Tanya Rafiz.
"Takkan awak tak kenal Huzaimie tu. Dia kan mat kepoh, suka gosip-gosipkan orang. Lagipun saya tak pernah pesan kat dia suruh kirim salam kat awak." Jawab Hana sambil tersenyum.
"Tapi sebab apa?" Tanya Rafiz lagi.
Hana hanya mengangkat bahu. "Memang hobi dia macam tu kot." Jawab Hana ringkas.
Rafiz dapat membayangkan wajah Huzaimie yang sedang mentertawakan dirinya. Dalam ramai-ramai budak lelaki dalam kelas ni, kenapa aku?? Esok siap kau !!
"Awak taknak balik lagi ker?" Soalan Hana mematikan lamunan Rafiz.
"Dah siap-siap nak balik ni." Jawab Rafiz seraya menggalas beg.
"Kalau macam tu, jom." Pelawa Hana. Rafiz terkejut dengan pelawaan itu.
"Apsal?" Soal Hana tatkala melihat Rafiz yang kekagetan.
"Er..takde apa-apa. Jom." Rafiz cepat-cepat menyembunyikan rasa cemasnya.
Lalu mereka berdua berjalan seiringan menuju ke tempat letak basikal sambil berbual-bual kosong. Itulah detik awal perkenalan mereka. Dan buat pertama kalinya juga, Rafiz dapat mengikis sifat pemalunya terhadap perempuan. Mulai dari saat itu, mereka berkawan baik. Rafiz beranggapan, mungkin disebabkan itu gosip antara dia dan Hana mula timbul dan tersebar. Namun dia tidak kisah akan semua itu. Tambahan pula, waktu itu mereka masih lagi di alam persekolahan. Tidak timbul isu perasaan cinta dan kasih-sayang. Kalau ada pun, mungkin sekadar cinta monyet. Hanya untuk berseronok-seronok. Segalanya tidak terhenti di situ. Apabila memasuki darjah 6, mereka turut berada di dalam kelas yang sama.
Hana banyak membantunya mengulangkaji pelajaran. Kadang-kadang mereka bertukar-tukar buku latihan. Semakin lama, persahabatan mereka semakin erat. Banyak aktiviti sekolah yang disertai oleh Rafiz, akan turut disertai oleh Hana. Sama ada kelas tambahan, kelas intensif, perkhemahan badan beruniform mahupun lawatan sambil belajar. Dalam diam, Rafiz menyimpan perasaan terhadap Hana, walaupun pada masa itu dia masih mentah untuk memahami istilah cinta.
Namun persahabatan mereka mulai renggang tatkala mereka menjejakkan kaki ke tingkatan 1. Masing-masing membawa haluan sendiri dengan kawan-kawan baru. Alam sekolah menengah amat berbeza. Rafiz dan Hana semakin matang dan meningkat dewasa. Barangkali rasa malu mulai terbit dalam hati masing-masing untuk berkawan rapat seperti di zaman sekolah rendah. Namun begitu, Rafiz masih lagi menyimpan perasaan terhadap Hana. Pernah juga Rafiz mencuri-curi pandang ke arah Hana tatkala dia berjalan melewati kelasnya. Setelah tamat peperiksaan PMR, Rafiz berpindah ke MRSM manakala Hana pula memasuki sekolah berasrama penuh. Sejak itu, mereka berdua terputus hubungan.
----------
"Eh, tadi bukan korang kata nak pergi Payathai ker? Tak sampai lagi?" Soal Rafiz tiba-tiba. Dia keluar dari khayalannya setelah merasakan agak lama Rozenan memandu.
Haris berpaling ke tempat duduk belakang lalu memandang ke arah Rafiz.
"Kau tidur eh?" Tanya Haris seperti mengejek.
"Tak pun." Rafiz menjawab.
"Kitorang dah pusing-pusing Payathai dekat 15 minit dah. Dah jumpa pun company tu. Kau tak perasan?" Soal Haris lagi.
Rafiz menggelengkan kepalanya.
Ketawa Haris terburai. "Banyak sangat termenung. Apa yang kau fikir pun aku tau tahu." Ujar Haris. Dia sudah masak benar dengan hobi kawannya itu.
"Jangan banyak fikir sangat bro. Nanti botak kepala, dah tak hensem." Rozenan memandangnya melalui cermin belakang.
Rafiz tersengih-sengih. "Habis tu kita nak pergi mana ni?" Soalnya.
"Balik rumah lah. Hari dah petang ni. Sembahyang Asar pun belum lagi." Jawab Haris.
Kereta Ford Focus itu meluncur laju meninggalkan Payathai.
********************
Hana merebahkan tubuhnya ke katil. Perjalanan hari sangat memenatkan, ditambah pula dengan cuaca panas yang membahang di kota Bangkok siang tadi. Semasa dalam perjalanan pulang tadi, bas yang dinaikinya terperangkap di dalam kesesakan yang sangat teruk. Maka, agak lewat dia tiba di rumah. Mujurlah waktu Asar masih ada. Lalu dia segera membersihkan dirinya dan pergi mengambil wuduk.
Selesai menunaikan solat Asar, Hana berteleku seketika di atas tikar sembahyang. Doa dipanjatkan ke hadrat Ilahi agar diberkati hidupnya di dunia dan akhirat. Selesai berdoa, Hana mencapai tas tangannya yang terletak di atas meja. Tas tangan itu dibuka lalu dia mula menyelongkar isinya, seperti mencari sesuatu. Hana mengeluarkan telefon bimbitnya. Tiada panggilan atau SMS yang tertera di skrin. Raut wajahnya sedikit kecewa. Dia kembali menyelongkar isi perut tas tangan itu.
"Hah, ada pun. Ingatkan dah hilang." Omelnya sambil mengeluarkan sekeping tag nama berwarna merah yang sudah kusam. Namun logo sekolah masih jelas kelihatan di atasnya. Tag nama itu dilapnya perlahan. Hana tersenyum tatkala melihat nama yang terukir pada tag nama itu.
"Rafiz bin Zulikifli." Hatinya berbisik.
(bersambung....)






1 comments:
hehehe..part last..kenangan cinta monyet zaman sekolah..pakai posmen..yg ptg dlm surat tu ade bedak wangi..hahahha..kenangan2..
Post a Comment